Tan Sri Dr. P. Ramlee dilahirkan dengan bakat seni yang besar dan hebat. Perjuangan selama 25 tahun dalam bidang seni membawanya ke puncak kesuksesan sebagai penyanyi, penggubah lagu, pemusik, Bintang Film, pengarah filem, dan sebagai pengusaha film.

Tan Sri Dr. P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh merupakan seorang
Bintang Film, penyanyi, pengarah,
pemain musik dan penulis lagu terkenal di Malaysia dan Singapura.
Beliau dilahirkan di Pulau Pinang pada 22 Mac 1929 di pagi Idul Fitri. Ayahnya yang berasal dari Lhokseumawe, Aceh, telah mendirikan rumah tangga

dengan Che Mah Hussein pada tahun 1925 di Kubang Buaya, Butterworth.
Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan kemudian ke Sekolah Francis Light. Selanjutnya beliau
menyambung pendidikan di Penang Free School hingga meletusnya Perang Dunia Kedua.

Berawal dari bermain ukele, P. Ramlee beralih ke gitar dan biola di bawah bimbingan Encik Kamaruddin
(pemimpin brass band di Penang Free School). Beliau menyertai Orkes Teruna Sekampung dan kemudian Sinaran Bintang Sore.
Beliau pernah menjadi juara nyanyian anjuran Radio Pulau Pinang pada tahun 1947 dan terpilih sebagai Bintang Penyanyi Utama
Malaya. Dalam pertandingan itu, beliau menggunakan huruf "P" (untuk Puteh) di awal namanya dan kekallah nama P. Ramlee itu hingga ke akhir hayatnya.

Filem pertama yg dilakoni P.Ramlee adalah CHINTA pada tahun 1948. Beliau memegang peranan sebagai penjahat dan Penyanyi latar.
Kejayaannya terus berkembang dan telah sukses pada 27 buah film sekitar tahun 1948 hingga 1955.
Salah seorang pendorong dan guru P. Ramlee dalam dunia perfileman Melayu adalah Datuk L. Krishnan
(Pengarah filem Melayu tahun 50an dan 60an yang terkenal). Gaya lakonan P. Ramlee yang amat berjaya itu adalah hasil
inspirasi P. Ramlee daripada dua pelakon terkenal India Selatan iaitu MGR dan Sivaji Ganesan. Filem terakhir lakonan beliau
ialah Laksamana Do Re Mi pada tahun 1972 dan lagu dan lirik terakhirnya adalah Ayer Mata Di Kuala Lumpur pada tahun 1973
sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya.

P. Ramlee pernah berkahwin tiga kali. Isteri pertama ialah Junaidah Daeng Haris, berkahwin pada tahun 1950 dan bercerai
pada tahun 1954. Pada 6 Februari 1955 berkahwin pula dengan Norizan tetapi jodoh mereka berakhir pada tahun 1961.
Beberapa bulan selepas itu P.Ramlee berkahwin dengan Saloma pada 21 November 1961 dan jodoh mereka kekal hingga ke akhir
hayat.

P. Ramlee menerima Pingat Kebesaran Ahli Mangku Negara(A.M.N.) daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang
ketiga.P. Ramlee telah kembali ke Rahmatullah pada pagi Selasa 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun dan
jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang Kuala Lumpur. Bagi mengenang jasa dan sumbangannya,
Allahyarham telah dianugerahkan Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri. Selain itu rumah terakhir beliau di Jalan Dedap, Setapak telah
diubahsuai dan dijadikan sebagai "Pustaka Peringatan P Ramlee" pada tahun 1986. Manakala di tengah pusat bandar raya
Kuala Lumpur namanya turut diabadikan pada sebatang jalan yaitu Jalan P Ramlee (dahulunya Jalan Parry) pada tahun 1982.